Call Us 072253000
Indonesia

Article Detail

Hati-hati serangan 'strok haba'

March 31, 2017

Added By :
Dato' Dr M Singaraveloo


Hati-hati serangan 'strok haba'

Mingguan Malaysia
Ahad - 26.03.2017

Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba. Fenomena tersebut mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh. Sementara itu, negara dikejutkan dengan berita kematian perajurit muda yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusada) Port Dickson, Negeri Sembilan, Muhammad Aizat Hamzah, 23, meninggal dunia baru-baru ini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Port Dickson, Negeri Sembilan akibat strok haba. Arwah difahamkan pengsan secara tiba-tiba ketika sedang melakukan latihan kawad kaki sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Pakar Perubatan Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M Singaraveloo, strok haba berlaku apabila kita terdedah kepada cuaca panas secara berterusan. Ini akan menyebabkan kita mengalami kenaikan suhu mendadak selain turut mengalami kegagalan berpeluh. Suhu badan normal manusia ialah 37⁰ celsius, strok haba akan mula menyerang apabila suhu badan melebihi 40.5⁰ celsius atau lebih.

‘Jika kita berada di bawah cuaca panas yang melampau, ini akan menyebabkan tubuh badan kita mengalami penyahidratan. Kekurangan air dalam tubuh badan boleh menyebabkan seseorang terkena komplikasi dehidrasi kritikal dan jika tidak mendapatkan rawatan awal seseorang boleh mengalami komplikasi saraf dalam otak, organ dalam badan, koma dan menyebabkan kematian. ‘Bagi individu yang tidak biasa terdedah kepada cuaca panas matahari, risiko untuk mengalami strok haba lebih tinggi berbanding dengan mereka yang biasa bekerja di tempat terbuka. Kumpulan yang berisiko ialah kanak-kanak, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas dan penghidap penyakit kronik’ katanya.

Dr. M Singaraveloo menjelaskan, tanda-tanda awal strok boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 40⁰ celcius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot. Individu juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka.

Jika anda terpaksa keluar dalam cuaca panas terik:

1)   Hadkan aktiviti luar anda hanya pada waktu pagi dan petang

2)   Kurangkan aktiviti senaman. Jika anda perlu bersenam, minum 2-4 gelas sejuk yang tidak mengandungi alkohol setiap jam. Minuman sukan isotonik boleh menggantikan garam dan mineral yang kehilangan melalui peluh. Amaran: Jika anda berada dalam diet rendah garam, berbincang dengan doktor anda sebelum meminum minuman sukan (isotonik)

3)   Ketika berehat, cuba cari kawasan teduhan yang terlindung dari sinaran cahaya matahari secara langsung

      4)    Pelihara diri anda dari matahari dengan memakai payung atau topi yang lebar (juga boleh menjadikan anda lebih sejuk), pakai cermin mata hitam dan gunakan pelindung krim SPF15 atau lebih tinggi (produk yang paling berkesan mempunyai label ‘spektrum luas’ atau ‘perlindungan UVA/UVB’) .

 

Article Provided By:


View Profile
Dato' Dr M Singaraveloo
MBBS(Mal), M Med (S'pore), MRCP(UK), FRCP(Glasg), AM (Mal)
Speciality : General Medicine
Get Appointment Contact